Sunday, March 6, 2011

Di sini ada menjual gadis.

Semasa kita menonton tv, melalui lebuhraya, membaca akhbar, menunggu teksi atau bas di perhentian, menanti transit aliran ringan di mana-mana stesen LRT, mata kita pasti dipaksa untuk memandangnya. Mahu tidak mahu kita akan menatap dan membacanya. Itulah urusniaga media berbayar yang bernama iklan.



Pelbagai jenis iklan menjamu mata. Ada iklan prodak pelangsingan, pembesaran ehem, menjual sabun cuci, iklan biskut, iklan kasut untuk pelajar sekolah rendah, iklan pelancongan ke phuket dan sipadan, iklan mesin urut dan tidak ketinggalan iklan pinjaman wang tanpa Form G dan penyata kwsp.

Antara sedar atau tidak, media jenis ini sentiasa mengejar kita kerana ini adalah strategi pemasaran yang berkesan dalam menjual prodak masing-masing. Mata kita tidak dapat tidak akan menatap iklan-iklan ini. Bayangkan sebuah skrin besar yang menayangkan iklan diletakkan di persimpangan lampu isyarat di tengah bandar, pemandu mana yang akan mengabaikannya? Lihat sahaja di lebuhraya, papan iklan yang 5 kali ganda lebih besar daripada proton wira akan terpampang dan dapat dibaca 1 kilometer sebelum kenderaan melaluinya.


Ironinya, watak yang dijadikan model untuk kebanyakan iklan ialah wanita. Dari iklan syampo rambut, sabun mandi, ubat gigi, pencuci muka, rempah kari dan sup bunjut, air berkarbonat, pewangi badan, bedak talkum, iklan syarikat penerbangan, kopi, sabun buku dan softlan, mesin basuh, peti sejuk, penyaman udara, racun serangga dan ubat nyamuk. Ringkasnya segala bentuk iklan meletakkan wanita sebagai model kecuali iklan bekas makanan polisterine.

Wanita wajib dilambangkan sebagai kelembutan, ketatatusilaan dan keluhuran. Namun hari ini kita melihat golongan ini diprojekkan sebagai golongan penarik dalam urusniaga melalui iklan. Sebutkan saya satu iklan wanita yang sopan? Dari segi pakaian, tingkah laku dan penyampaian.

Kita dimomokkan dengan seorang wanita yang berwatak menggiurkan dalam iklan minyak wangi. Seorang wanita yang beraksi dalam kamar mandi tanpa berpakaian sudah beratus kali kita tonton untuk iklan sabun mandi dan syampo rambut, walaupun kamera cuma memfokuskan bahagian atas dada sahaja.

Saya tidak mahu menulis tentang pengaruh buruk iklan, tetapi ingin membuktikan satu fakta baru bahawa hari ini kita semua berfikir seorang wanita seksi mampu melariskan segala-galanya dari sebotol kicap sehinggalah pewangi jamban.

Dari sudut nilai, terdapat banyak iklan yang menggayakan model wanita sebagai objek seks semata-mata, demi untuk melariskan barangan meraka. Perhatikanlah iklan penyembur ketiak berjenama Axe, wanita diprojekkan sebagai bahan umpan kepada golongan lelaki bahawa jika mereka membelinya, akan ada wanita ghairah dan ingin berasmara dengannya. Begitu juga dengan iklan minyak wangi. Malahan iklan telefon bimbit, minuman ringan,minyak rambut dan kopi tongkat ali juga bermotif yang sama.

Haruslah kita menyedari bahawa projek iklan seumpama ini, lama kelamaan bakal mengubah persepsi umum terhadap wanita. Tidak mustahil wanita akan dilabelkan sebagai alat pelaris ataupun objek seksual semata-mata suatu hari nanti. Ini juga tentunya mengajak kita berfikir bahawa hari ini golongan berjantina ini lebih ramai daripada lelaki, selari dengan tanda-tanda akhir zaman.

4 comments:

Abdullah Aziz said...

Kebenaran memang pahit untuk ditelan..

Dakwat Basah! said...

betul. dan yg pahit x semuanya salah kan bang.

Naddia said...

kenape takde saleboy wanted kn?

kenape cume ade roti boy?

Dakwat Basah! said...

boy boy ade..haha..nad, ko buat iklan penjual lelaki wanted, nnti email kt aku.